Facebook Likers

Our Sponsors

May 21, 2013

(Airasia) Pengalaman Si Buta




Semalam (10 Mac), saya telah menggunakan penerbangan Air Asia untuk kembali semula ke KL selepas menghadiri satu mesyuarat di Kota Bharu sejak Isnin lalu. Kalau tak silap, ini kali keenam saya menggunakan perkhidmatan Air Asia. Jadual penerbangan saya ialah pada jam 11.45 pagi. Dari hotel Crown Garden, Cikgu Helmi telah bermurah hati untuk menghantar saya dan Cikgu Azlan ke lapangan terbang Kota Bharu. Terima kasih daun keladi diucapkan kepada Cikgu Helmi. Setibanya kami, Cikgu Azlan terus membawa saya ke kaunter Air Asia. Setelah itu, Cikgu Azlan telah meninggalkan saya di kaunter kerana beliau harus menguruskan penerbangannya pula yang dijadualkan 15 minit lebih awal daripada jadual penerbangan saya. Terima kasih banyak-banyak kepada Cikgu Azlan.
Sewaktu saya hendak mendaftar masuk, seorang kakitangan di kaunter bertanya kepada saya, “Encik seorang sahaja ke?” Saya jawab, “Ya, seorang saja.” Lalu kakitangan berkenaan berkata pula kepada saya, “Sebenarnya kami tidak menyediakan bantuan kepada penumpang (buta) seperti encik. Encik kena ada orang lain untuk bantu encik.” Saya berkata pula, “Tapi semasa saya menempah tiket, saya diberitahu bahawa saya boleh mendapatkan bantuan dengan bayaran sebanyak RM12.00 sehala dan saya bersetuju untuk membayarnya.”
Lalu saya menunjukkan butiran tempahan yang saya telah cetak. Sebenarnya saya telah membuat tempahan menerusi telefon (premier line) dan butiran tempahan berkenaan telah diemailkan kepada saya. Saya telah mencetak butiran yang telah diemailkan kepada saya untuk sebarang keperluan. Semasa membuat tempahan, saya telah memaklumkan kepada kakitangan yang berkaitan bahawa saya cacat penglihatan dan mungkin akan memerlukan bantuan sama ada di LCCT ataupun di Kota Bharu. Pada cetakan tersebut juga tertera “Meet and asist”.
Saya menunjukkan kepada kakitangan berkenaan butiran tempahan berkenaan serta frasa sebagaimana yang tertera di atas. Lalu kakitangan berkenaan berkata, “Ini hanya untuk pengguna kerusi roda sahaja. Orang macam encik (buta) tidak ada bantuan seperti ini.” Saya memberitahu kakitangan terseut, “Masa saya buat tempahan, semua butir diri saya termasuklah kecacatan saya telah dimaklumkan kepada pihak Air Asia dan kata kakitangan berkenaan tiada masalah.” Lalu saya bertanya pula, “Jadi, adakah saya harus membatalkan penerbangan saya?” Kakitangan berkenaan berkata, “Itu terpulanglah kepada encik, kami memang tak dapat menyediakan bantuan macam yang encik perlukan. Bantuan hanya kepada pengguna kerusi roda sahaja.” Untuk menyelesaikan masalah yang sepatutnya bukan masalah itu, saya pun mencadangkan kepada kakitangan berkenaan, “Macam ni lah, apa kata kalau saya dianggap pengguna kerusi roda, tak apalah, saya akan duduk atas kerusi roda dan kakitangan encik boleh tolak saya, boleh tak?” Kakitangan berkenaan menjawab, “Tak boleh kerana encik bukan pengguna kerusi roda.”
Saya mula naik angin. Bukannya apa, saya tidak mahu kerana kebodohan orang lain, saya pula yang akan terlepas penerbangan. Lalu saya berhujah dan kali ini dengan suara yang agak tinggi sedikit, “Tapi masa saya buat tempahan kelmarin, kakitangan yang menguruskan tempahan saya memberitahu tiada masalah. Lagi pun, ini bukan kali pertama saya gunakan perkhidmatan Air Asia. Masa saya di KL dan di Kota Bharu Isnin lalu, tiada masalah pun! Mengapa kali ini pula ada masalah. Ke, encik ni yang buat masalah?” Agaknya, “pertengkaran” kami turut mendapat perhatian kakitangan Air Asia yang lain. Mungkin ada di antara mereka tidak mahu melihat drama berkenaan terus berpanjangan dan di khalayak ramai pula, maka salah seorang kakitangan lain terus menghampiri kami berdua dan terus menawarkan diri untuk membantu saya. Saya lega.
Semasa kakitangan yang baik hati itu memimpin saya ke tempat duduk, beliau meminta berbanyak-banyak maaf. Katanya lagi, kakitangan tadi memang macam itu, tidak ada pertimbangan langsung.
Akhirnya, saya dapat juga naik kapal terbang yang telah dijadualkan. Semasa hendak ke kapal terbang, saya telah ditolak dengan kerusi roda. Berdasarkan SMS-nya, rupa-rupanya Cikgu Azlan ternampak saya ditolak dengan kerusi roda. Kakitangan Air Asia yang lain telah memberikan layanan dan bantuan yang cukup baik kepada saya sepanjang di lapangan terbang Kota Bharu. Mungkin sudah ditakdirkan, sekali-sekala saya dipertemukan juga dengan orang bodoh macam kakitangan yang tidak ada pertimbangan tadi. Alhamdulillah, sekitar jam 12.30 tengah hari, Kapal terbang yang saya naiki telah selamat mendarat di LCCT. Semasa di LCCT, saya tiada masalah langsung untuk mendapatkan bantuan. Walaupun saya seorang diri, saya telah selamat tiba di rumah dengan pertolongan orang yang baik hati di sekitar saya. Alhamdulillah ….
Kepada rakan-rakan senasib, Pengalaman saya yang secebis ini merupakan lumrah dalam kehidupan. Bukan semua orang akan memahami kita dan tidak semua orang akan menyisihkan kita. Oleh itu, kita mesti tabah, cekal, kental dan jangan cepat mengalah bila berhadapan dengan segelintir orang bodoh macam yang saya temui di lapangan terbang Kota Bharu semalam. Kita juga harus sentiasa bersyukur banyak-banyak kerana di sekeliling kita masih ramai lagi orang yang baik hati, berpertimbangan dan memahami keperluan asasi orang seperti kita. Adakalanya kita harus kental dalam mempertahankan hak kita. Kita jadi begini kerana takdir dan redha adalah ubat yang paling mujarab dalam mengharungi apa yang telah ditakdirkan untuk kita. Tetapi, redha bukan bermakna mengalah! Pengalaman yang tak seberapa ini saya kongsikan agar sedikit sebanyak kita beroleh manfaat daripadanya, insha-Allah.
Sumber: blog peribadi si insan

No comments:

Post a Comment

Ada nak komen apa-apa? Jemput bersila untuk menaip :p