Facebook Likers

October 27, 2013

(GST) Apa Itu Goods & Service Tax?

Ini adalah salah satu cara untuk memahami GST dengan lebih mudah. Penerangan yang diterima setakat ini agak mengelirukan. Ini adalah sedutan dari laman-laman web dengan menggunakan keratan akhbar dan klip berita atau info untuk rujukan anda. Ada petikan artikel disertakan untuk mereka yang perlukan penerangan secara bertulis di bawah.

#GSTInfo #Knowgst





































Ini pula petikan artikel dari Oskortos (Norman).
GST
Oleh: Norman 

Dengar saja tentang GST perkara pertama yang akan terlintas di kepala kita sudah pastilah tentang kenaikan harga barang disebabkan cukai yang dikenakan kerajaan. Memandangkan pada PRU13, BN kekal dipilih sebagai kerajaan pelaksanaan GST mungkin akan terjadi dalam tempoh masa setahun atau dua tahun daripada sekarang. Walaubagaimanapun sebagai rakyat yang matang kita haruslah memahami sesuatu isu tersebut sebelum kita membangkang apa sahaja dasar yang dibawa kerajaan. 

Setelah menerima maklumbalas daripada laman media sosial Twitter dan FB saya simpulkan ramai yang sebenarnya tidak faham tentang apa itu sebenarnya GST, bagaimana GST dilaksanakan dan juga kesan GST terhadap harga barang dan perkhidmatan. Saya tidak menyalahkan kawan-kawan semua kerana kerajaan juga tersilap langkah apabila penerangan tentang GST tidak dibuat secara menyeluruh malah peluang menerangkan GST melalui media perdana seperti suratkhabar, tv & radio disia-siakan kerajaan apabila ia hanya digunakan untuk menghentam pembangkang, menabur fitnah dan terbaru membangkitkan semangat perkauman. Sebelum membaca artikel ini saya minta kawan-kawan tinggalkan politik partisan, buka mata dan hati supaya kita faham apa itu sebenarnya GST.

CUKAI DI MALAYSIA
Terdapat dua jenis cukai utama yang dikenakan kepada rakyat Malaysia yang pertama cukai pendapatan (income tax) yang termasuk dibawah kategori cukai langsung (direct tax) dan yang kedua cukai penggunaan (consumption tax) yang termasuk dibawah cukai tak langsung (indirect tax). Cukai pendapatan adalah cukai yang dikenakan keatas segala pendapatan termasuk gaji, bonus, hadiah, komisen, dividen dan sebagainya. Manakala cukai penggunaan dikenakan keatas barangan yang dibeli atau perkhidmatan yang kita gunakan. GST terletak dibawah kategori cukai penggunaan (consumption tax).

APA ITU GST DAN SST?
GST adalah 'Goods and Services Tax' atau cukai barangan dan perkhidmatan. Selama ini kita rakyat Malaysia membayar SST iaitu 'Sales tax and Service tax' atau cukai jualan dan cukai perkhidmatan. SST kebiasaannya dikenakan ke atas bil telekomunikasi, internet, ASTRO, tiket wayang, tiket parking, barangan di supermarket, KFC, McD, Pizza pada kadar 6% untuk cukai perkhidmatan (service tax) dan 10% untuk cukai jualan (sales tax). Anda boleh merujuk bil atau resit setiap kali anda membuat bayaran bil telefon, ASTRO, selepas membeli belah di Tesco, Jusco, Giant dan sebagainya semuanya ada tertera jumlah dan peratusan SST yang dibayar. 

GST yang dicadangkan kerajaan Malaysia pada tahun 2009 adalah pada kadar 4% menjadikannya lebih rendah daripada SST pada kadar 6%-10%. Jadi apa bezanya GST dan SST? Pelaksanaan GST merangkumi segala jenis barangan dan perkhidmatan yang ada di Malaysia termasuk barangan yang diimport mahupun yang dibuat dibuat di Malaysia. GST akan mengenakan cukai pada setiap lapisan peringkat bekalan barangan dan perkhidmatan contohnya dari pengilang (manufacturer), pemborong (wholesaler), peruncit/kedai (retailer) hinggalah kepada pengguna (end-customer). Cukai GST ini akan dikutip setiap kali transaksi berlaku dan penjual akan mengutip cukai daripada pembeli mengikut rantaian bekalan tadi. Walaubagaimanapun 4% itu adalah kadar tetap dan tiada cukai berganda (multiple taxes). SST pula kebiasaannya dikenakan kepada pelanggan yang membeli barangan daripada kedai/peruncit dan terdedah kepada cukai berganda. Pelaksanaan SST juga tidak menyeluruh menjadikan ia tidak saksama. GST juga adalah bertujuan menggantikan SST sebagai salah satu pembaharuan sistem percukaian. Ini bermakna SST akan dimansuhkan sebaik sahaja GST dilaksanakan.

PELAKSANAAN GST

Idea melaksanakan GST ini mula dibincangkan pada tahun 2007 dan pada mulanya dijadualkan untuk dilaksana pada tahun 2009 kemudiannya ditangguh atas sebab pilihanraya dan juga atas sebab kurangnya pemahaman tentang GST dikalangan rakyat Malaysia. Kemudiannya rang undang-undang GST dibaca diparlimen buat kali pertama pada tahun 2009 dan dijadualkan dibaca untuk kali kedua pada 2010 namun ia ditangguhkan juga atas sebab-sebab yang sama. Anda boleh merujuk keratan berita dari Berita Harian tentang jadual bacaan rang undang-undang GST di sini: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/2013011405244620130114052446/Article/index_html
GST yang dicadangkan kerajaan adalah pada kadar rata 4% untuk SETIAP barangan dan perkhidmatan WALAUBAGAIMANAPUN kerajaan akan mengecualikan GST ke atas barangan seperti makanan asas beras, gula, tepung, pengangkutan awam seperti tiket bas, komuter, LRT dan juga barangan seperti ubat-ubatan dan sebagainya. Dengan pengecualian ini kesan kenaikan harga ke atas barangan dan perkhidmatan asas adalah minima (atau tiada). Perkara ini ada dinyatakan di laman web Kastam DiRaja Malaysia tentang GST


KEPERLUAN MELAKSANAKAN GST

GST perlu dilaksanakan untuk meluaskan kadar kenaan cukai kepada semua individu dan perniagaan di Malaysia lalu menambah pendapatan kerajaan secara tidak langsung. GST juga akan menutup kelemahan pengurusan cukai SST seperti cukai berganda, lari daripada cukai (tax evasion) dan sebagainya. Untuk pengetahuan kawan-kawan daripada jumlah penduduk (populasi) seramai 28 juta di Malaysia kurang daripada 10% membayar cukai pendapatan manakala daripada keseluruhan tenaga buruh (workforce) seramai 11 juta di Malaysia peratusan yang membayar cukai pendapatan (income tax) adalah lebih kurang 25%. Rujuk taksiran pembayar cukai bermastautin daripada perangkaan tahunan negara: 




Bermakna mereka yang membayar cukai pendapatan adalah sedikit jika dibandingkan dengan mereka yang menerima manfaat daripada kerajaan seperti BR1M, BB1M dan segala bentuk jenis subsidi yang lain. GST akan menjadikan setiap lapisan masyarakat sama ada miskin, sederhana atau kaya membayar cukai untuk menyumbang kepada pendapatan kerajaan. 

GST TIDAK ADIL KEPADA ORANG MISKIN?

GST nampak tidak adil kepada mereka yang berpendapatan rendah kerana mereka terpaksa membayar cukai pada kadar yang sama seperti mereka yang berpendapatan tinggi. Oleh sebab itu kerajaan disamping melaksanakan GST perlu memperkenalkan pakej atau program seperti bayaran tunai atau rebat kepada mereka yang berpendapatan rendah. Program sekarang seperti BR1M boleh dijadikan contoh tetapi pelaksanaannya perlulah teliti dan lebih sistematik agar bayaran tunai untuk menangani kos GST tidak tiris dan terdedah kepada penyelewengan (contohnya: orang yang tidak layak juga terima BR1M). 

Konsep cukai penggunaan (consumption tax) seperti GST adalah semakin banyak anda membeli barang atau menggunakan perkhidmatan semakin banyak cukai yang dibayar. Bermakna anda boleh mengawal perbelanjaan anda secara berhemah dan berjimat. Mereka yang berpendapatan tinggi akan membayar cukai lebih tinggi apabila mereka berbelanja lebih berbanding mereka yang berpendapatan rendah hanya akan berbelanja mengikut kemampuan mereka. Program bantuan tunai daripada kerajaan akan mengurang kesan GST kepada mereka yang berpendapatan rendah.

KESAN GST

GST jika dilaksanakan seperti di negara lain contohnya Singapura, apabila GST dilaksanakan kadar cukai pendapatan (income tax) akan dikurangkan secara berperingkat. Ini akan memberi kesan positif kepada pembayar cukai pendapatan di mana mereka akan ada lebih pendapatan boleh guna (disposable income) untuk dibelanja atau disimpan. Walaubagaimanapun kerajaan Malaysia masih belum bercadang untuk mengurangkan kadar cukai pendapatan, mungkin ia akan dimaklumkan kemudian hari. GST juga secara tidak langsung akan menggalakkan rakyat menyimpan untuk pelaburan dan berbelanja secara berhemah dan jika perlu sahaja. 

Mengenai kerisauan dikalangan kita bahawa GST akan meningkatkan harga barangan, memang ia tak dapat dinafikan yang ada sesetengah barangan akan naik harga TETAPI ada juga barangan yang akan turun harga setelah kadar GST 4% ini dilaksanakan kerana sebelum ini SST 6-10% dikenakan maka ada penguranagan kadar cukai disitu. Harga KFC, tiket wayang, bil telco akan berkurang sedikit manakala barangan yang tidak dikenakan cukai SST sebelum ini seperti barangan elektrik, komputer dan sebagainya akan meningkat sedikit. Kita perlu perbetulkan pemahaman dan salahfaham mengenai konsep GST sebelum menganggap ia semata-mata akan menaikkan harga barang.

Kerajaan juga akan membentuk jawatan kuasa yang memantau serta mengawal kadar kenaikan harga barang agar kenaikan harga barang tidak mendadak dan peniaga tidak akan mengutip untung berlebihan: 

BAGAIMANA GST DIKUTIP

Kutipan GST melibatkan kutipan di setiap rantaian bekalan dari pengilang, pemborong, peruncit sehinggalah pembeli/pengguna. Setiap kali transaksi berlaku di dalam rantaian bekalan pemborong dan peruncit yang mengutip GST akan menuntut balik input cukai GST yang dikenakan (standard-rated supplies). Contoh kutipan dan tuntutan balik input cukai dalam rantaian bekalan: 


Berikut pula adalah contoh kutipan dan tuntutan balik input cukai dengan harga dan nilai kutipan: 
Di atas adalah GST yang dikutip mengikut "Standard-rated supplies". Untuk "Zero-rated supplies" dan "exempt supplies" sila ke laman web kastam untuk penerangan lanjut.

SALAHFAHAM KEBELAKANGAN INI

Kebelakangan ini tersebar tentang 'GST' telah dilaksanakan melalui penyebaran gambar ini: 


GST yang dimaksudkan diatas adalah 'government service tax' pada kadar 6% dan bukannya Goods and Services Tax pada kadar 4% yang dicadangkan. Sepatutnya Tesco Extra menulisnya sebagai SST atau Service Tax dan bukannya GST untuk mengelakkan kekeliruan seperti diatas. GST 4% akan menggantikan cukai perkhdimatan 6% ini. 

Cukai perkhidmatan diatas sebelum 2011 adalah pada kadar 5% kemudiannya dinaikkan kepada 6% berkuatkuasa 1 Januari 2011. Rujuk: http://kms.customs.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=99:info-untuk-umum--cukai-perkhidmatan&catid=39:cdnk&Itemid=94

PENDAPAT PERIBADI

Di atas saya telah menerangkan konsep, pelaksanaan dan kesan GST kepada kita semua. Jika anda bertanya kepada saya secara peribadi, saya menyokong pelaksanaan GST ini dengan syarat kerajaan meningkatkan kecekapan pengurusan jabatan-jabatan yang terlibat, pemantauan teliti untuk mengelakkan pengguna ditekan atau ditipu peniaga dan penerangan yang lebih jelas kepada rakyat keseluruhannya. Kerajaan juga perlu memperkenalkan pakej atau program yang lebih mampan untuk menangani kesan GST kepada golongan berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar. Pelaksanaan GST tidak boleh dilaksanakan dengan terburu-buru dan perlu diadakan tempoh percubaan (trial period) sepertimana ia dijalankan di negara lain. Disamping itu kerajaan juga sepatutnya menurunkan cukai pendapatan dan juga meningkatkan pendapatan seisi rumah untuk menangani kesan langsung daripada GST.

KEMASKINI (25 OKTOBER 2013)

Sempena Bajet 2014 yang diumumkan, kerajaan bakal melaksanakan GST pada kadar 6% dan bukan pada kadar 4% seperti yang dibaca di dalam parlimen pada tahun 2009. Ini bermakna kadar cukai GST yang akan menggantikan cukai SST sedia ada adalah sama untuk cukai perkhidmatan (Service Tax) 6% dan lebih rendah daripada cukai jualan (sales tax) 10%. Seperti yang diterangkan diatas kedua-dua cukai jualan dan perkhidmatan ini akan dimansuhkan dan digantikan dengan GST. GST juga akan dilaksana bermula 1 April 2015 iaitu kira-kira 17 bulan dari sekarang untuk menyediakan agensi kerajaan & perniagaan mengemaskini sistem percukaian sedia ada. Walaubagaimana pun masih belum ada senarai barangan dan perkhidmatan yang lengkap yang akan dikategorikan di dalam zero-rated dan juga barang dan perkhidmatan yang akan dikecualikan daripada GST kecuali beberapa barangan dan perkhidmatan asas seperti makanan, kesihatan, pengangkutan awam, perkhidmatan kerajaan yang disebut Perdana Menteri dalam ucapan bajet beliau. 

KESIMPULAN 

Saya seorang individu yang pro-Pakatan Rakyat sebenarnya berkongsi kerisauan dengan kawan-kawan tentang cara kerajaan membelanjakan wang cukai yang dikutip. Lihat sahaja berbillion ringgit bocor, tiris dan dibazirkan setiap tahun seperti mana yang digambarkan didalam laporan ketua audit negara. Ini sahaja kerisauan kita bukan? GST adalah dasar yang baik tetapi bolehkah kerajaan dibawah BN membelanjakan wang kita dengan baik dan adakah rakyat akan mendapat faedah ke atas cukai yang dibayar nanti?

Didalam tempoh 5 tahun ini suka atau tidak GST tetap akan dilaksanakan. Bezanya kita sebagai rakyat perlulah memahami konsep GST itu sebelum kita membangkang membuta tuli tanpa fakta dan asas. Nak jadi pembangkang jadi pembangkang yang bijak, mahu jadi macai jadi macai yang cerdik. Harga barang naik atau mahal bukan disebabkan cukai, ia disebabkan monopoli dimana bekalan atau supply barangan dipegang oleh orang-orang tertentu sahaja. Ini yang patut kita tentang dan bangkang. Beras dan gula semuanya dipegang orang yang sama. Jadi mari sama-sama kita tolak monopoli dan favoritisme oleh kerajaan kepada tokey-tokey tertentu. Buka pasaran untuk persaingan sihat supaya akhirnya kita berada dalam situasi menang-menang. Rakyat untung, peniaga untung.

Tambahan: Sesetengah restoran atau perkhidmatan mengenakan service charge 10% yang mana kutipan ini tidak ada kena mengena dengan kerajaan. Jika GST dilaksanakan service charge ini mungkin kekal. Ada beza service charge dan service TAX. Klik di sini untuk penerangan lanjut.

(Kegagalan) Photochop Yang Gagal







#EditYangGagal

October 22, 2013

(Video) Kilang Ayam Yang Kejam



Ini adalah rakaman tersembunyi yang dilakukan di kilang penetasan (Hatchery) & pembiakan ayam di luar negara. Ayam ini diproses dengan mengunakan mesin dan diperlakukan dengan amat tidak berperikemanusiaan. Ada yang jangkahayatnya kurang dari 24 jam (ayam jantan). Ayam dihancurkan hidup-hidup dan diproses. Mana-mana yang terselamat (ayam betina) akan dipelihara sebagai ayam untuk tujuan mendapatkan hasilnya iaitu telur ayam. In adalah kitaran di kilang ini. Dikatakan kebanyakan kilang menggunakan kaedah yang sama.

#Chicken Holocaust

Jangan tengok kalau tak tahan....

October 19, 2013

(Surat) Tun Mahathir Mohamad Kepada Tunku Abdul Rahman



 
Batu 6, Titi Gajah,Alor Star,
17hb. Jun 1969 
Y.T.M. Tunku, 

Patek berasa dukachita kerana tujuan patek membuat kenyataan kepada akhbar telah di-salah faham oleh Y.T.M. Tunku. Sa-benar-nya tujuan patek sama-lah juga dengan tujuan Tunku, ia-itu untok menyelamatkan negara ini daripada bahaya yang menganchamkan-nya.

Pendapat-pendapat Tunku berasaskan kepada cherita-cherita yang di-bawa kepada telinga Tunku oleh orang-orang yang mengelilingi Tunku yang chuma suka mencherita kepada Tunku perkara2 yang mereka fikir Tunku suka atau patut dengar sahaja. Benarkan-lah patek bercherita berkenaan dengan keadaan, fikiran dan pendapat2 rakyat yang sa-benar-nya supaya Tunku dapat faham tujuan patek membuat kenyataan yang di-tegor itu. 

Tunku biasa cherita kepada patek sendiri ia-itu Tunku mengelakkan rusohan dengan menahan hukum bunoh yang di-jatohkan kepada 11 orang subversif China. Sabenar-nya tindakan Tunku ini-lah yang mengakibatkan rusohan dan kematian yang berpuloh kali banyak yang terjadi semenjak 13 Mei. 

Tunku selalu "bertolak-ansor," ia-itu memberi kepada orang2 China apa yang mereka tuntut. Punchak tolak-ansur ini ia-lah pembatalan hukum bunoh tadi. Pembatalan ini menimbulkan kemarahan yang besar oleh orang2 Melayu.

Orang2 China pula menganggap Tunku dan Kerajaan Perikatan sebagai pengechut dan lemah dan boleh di-tolak ke-sana ke-mari. Sebab itu orang2 China tidak takut lagi menolak Perikatan dan orang2 Melayu pula tidak ingin kepada Perikatan. Sebab itu orang2 China dan India membuat kurang ajar pada 12 Mei kepada orang Melayu. Kalau Tunku biasa di-ludah di-muka, di-maki dan di-tunjok kemaluan, boleh-lah Tunku faham perasaan orang Melayu.

Orang2 Melayu yang Tunku fikir tidak memberontak telah-pun menjadi gila dan mengamok sehingga mengorbankan nyawa mereka dan membunoh orang yang mereka benchi kerana Tunku terlangsong bagi muka. Tanggong-jawab tentang mati-nya orang2 ini, Islam dan kafir, terpaksa di-letak di-atas bahu pemimpin yang salah pendapat.

Patek mohon ma’af tetapi patek ingin sampaikan perasaan orang-orang Melayu kepada Y.T.M. Tunku. 
Sabenar-nya, orang2 Melayu sekarang, baik PAS baik Umno, betul2 benchi pada Tunku, terutama orang2 yang di-hina-kan oleh orang China dan yang kehilangan rumah-tangga, anak-pinak, saudara-mara kerana tolak ansur Tunku.

Mereka kata Tunku chuma ingin di-kenal-kan sebagai "The Happy Prime Minister" walau-pun ra’ayat menderita. Mereka tahu bahawa dalam keadaan dharurat-pun Tunku ashek bermain poker dengan kawan2 China Tunku. Budak2 polis mencherita yang Tunku mengguna-kan kenderaan dan eskot Polis untuk menchari kaki poker.

Sa-balek-nya pula orang2 China tidak ada sedikit-pun hormat kepada Tunku. Mereka berkata Tunku "naïve" dan tidak ada kaliber. Ada lagi yang mereka kata yang tak dapat patek sebut-kan. Kata2 itu datang dari semua golongan orang China, dari intelek sa-hinggga China becha. Pada masa lewat2 ini lagi satu kesan burok telah timbul. 

Orang2 Melayu dalam Civil Servis, dari Perm. Sec. ka-bawah, pegawai2 tentera dan polis Melayu tidak ada lagi kepercayaan dan respect kepada Tunku. Patek tahu kebanyakan mereka sokong PAS dalam undi pos. Pegawai Melayu dari Polis, tentera dan askar biasa maseh patoh kepada kerajaan oleh kerana arahan sekarang sesuai dengan kehendak mereka sendiri. Kalau Tunku membuat apa2 yang tidak di-ingini oleh mereka, patek perchaya mereka tidak akan menurut kata Tunku.

Patek tahu Tunku takut kominis mengambil kesempatan kalau timbul kekachauan dalam negeri. Patek lebih takut kalau kerajaan mula "lose control over the armed forces". Sa-kali ini terjadi, keadaan tidak akan puleh semula. Sampai bila-pun kerajaan civil mesti tundok kepada tentera. Tunku biasa jadi "Happy Prime Minister" tetapi orang yang akan turut ganti tak akan merasai "happiness" apa2.

Patek harap Y.T.M. Tunku jangan-lah menipu diri dengan berkata "satu hari mereka akan bershukor dengan perbuatan saya". Ta’akan yang sa-orang itu selalu betul dan yang banyak selalu salah. Patek ingin sampaikan kepada Tunku fikiran ra’ayat yang sa-benar, ia-itu masa telah lampau untuk Tunku bersara dari menjadi perdana menteri dan Ketua Umno.

Patek faham betul2 kuasa yang ada pada Tunku dan patek masih ingat nasib Aziz Ishak. Tapi patek tak akan jadi sa-orang yang bertanggong-jawab kalau patek tidak terangkan apa yang patek sebut-kan. Kalau di-penjara sa-kali-pun patek terpaksa kata apa yang patek telah kata-kan.

Patek di-beritahu ia-itu Tunku berkata patek Pakistani. Patek tidak perchaya kata2 orang kerana patek tahu Y.T.M. Tunku tidak akan berkata begitu. Patek-lah yang selalu mempertahan-kan Tunku apabila orang2 PAS kata yang Tunku anak Siam yang ta’ berhak memimpin orang Melayu. Jadi Tunku juga akan mempertahan-kan patek walau-pun maseh ada dua sudu darah Pakistani dalam tubuh badan patek.

Patek sa-kali lagi mengulangkan ia-itu kenyataan yang patek buat itu ia-lah menchegah kejadian yang akan menambah perasaan benchi orang2 Melayu terhadap kerajaan dan menggalak-kan orang2 China menjatohkan lagi maruah orang2 Melayu. Rusohan yang lebeh besar akan berlaku jika ini di-biarkan. Tentera sendiri tidak akan dapat di-kawal. Dan lagi kalau T.H. Tan dan dewan orang China boleh membuat kenyataan, kenapa ketua2 Umno tidak boleh?

Patek menulis surat ini dengan hati yang ikhlas dan harapan bahawa Y.T.M. Tunku akan bacha surat ini dengan sa-penoh-nya sendiri. Patek berdo’a ke-hadhrat Allah subhanahuwataala supaya di-buka hati Tunku untok menerima kenyataan yang sa-benar ini walau-pun pahit dan pedas.

Patek Yang Ikhlas,
(Dr. Mahather bin Muhammad)